Followers

06 November 2010

"GARUDA BANJIR MELANDA KEDAH 2010"



Bantuan kepada warga mangsa banjir


Jumlah penduduk yang dipindahkan kerana banjir di Kedah meningkat kepada 39,512 orang berbanding 32,990 orang pada sebelumnya berikutan peningkatan mendadak mangsa banjir di Kubang Pasu dan Alor Setar.

Bagaimanapun, semakin ramai mangsa banjir di Daerah Padang Terap yang dibenarkan pulang.

Mangsa di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang terus meningkat. Di Kubang Pasu, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 21,111 orang melibatkan 5,740 keluarga manakala di daerah Kota Setar, seramai 15,736 orang (4,047 keluarga) dan di daerah Pendang pula 241 orang (60 keluarga).

Mangsa banjir di Padang Terap berkurangan kepada 657 orang berbanding 2,279 orang malam tadi melibatkan 204 keluarga dan daerah Pokok Sena juga menunjukkan penurunan daripada 1,868 orang kepada 1,767 orang melibatkan 313 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga pukul 8 pagi ini, 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, 10 di Padang Terap, 32 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Katanya keadaan di Padang Terap bertambah baik dengan 2,722 orang daripada 339 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat manakala 10 pusat pemindahan ditutup.

Tinjauan Bernama di kawasan sekitar bandaraya Alor Setar mendapati semakin banyak jalan raya dan premis kerajaan digenangi air dan semakin banyak kediaman berdepan dengan gangguan bekalan air termasuk terputus bekalan.

Kawasan perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan juga pejabat Bernama Biro Kedah, kedua-duanya di Jalan Stadium, mula digenangi air. — Bernama



Seorang warga emas sedang mengharungi air banjir

Sementara itu PAS Negeri Kedah telah membuka Bilik Gerakan Banjir di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dalam usaha memberikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Penolong Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, bilik gerakan tersebut akan beroperasi 24 jam dan akan mengkoordinasikan bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa banjir.

PAS Kedah juga, katanya, telah menyusun tenaga sukarelawannya terdiri daripada Pemuda, Muslimat, Unit Amal dan Nisa’ untuk menjayakan bantuan tersebut.

Tambahnya, pada ketika ini pihak PAS Kedah amat memerlukan sumbangan orang ramai berupa air mineral, tuala wanita, lampin bayi dan biskut.

Sehubungan itu, beliau menyeru mereka yang prihatin untuk membantu usaha tersebut melalui sumbangan terus ke bilik gerakan banjir.

Katanya lagi, para dermawan yang berhasrat untuk turut serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir juga boleh terus berhubung dengan PAS Kedah agar kenderaan dan lokasi penyerahan sumbangan dapat ditentukan.

Sumbangan wang tunai juga boleh dihulurkan melalui akaun Maybank 552170001133 atas nama Majlis Tindakan Bencana Alam BPPNK.

Sebarang pertanyaan boleh menghubunginya di talian 012-482 7563 atau Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya di talian 019-4704740 dan 04-748 1120.

Operasi bantuan & penyelamat

No comments: